2 Beranak Hilang Ketika Memancing Ditemui Lemas

Mayat dua beranak yang ditemui berhampiran pusat peranginan Tampakan di Kudat dinaikkan oleh pasukan penyelamat. – Foto Facebook

KUDAT: Dua beranak yang dilaporkan hilang selepas keluar memancing di Sungai Karang Jumaat lalu ditemui lemas semalam.

Mangsa Jobik Mokim, 47 dan anak lelakinya Nick Hezron, 18, ditemui orang awam terdampar di kawasan pesisir pantai berhampiran pusat peranginan Tampakan, kira-kira 12 tengah hari.

Mayat dua beranak yang ditemui berhampiran pusat peranginan Tampakan di Kudat dinaikkan oleh pasukan penyelamat. – Foto Facebook

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, mangsa terbabit disedari hilang selepas bot mereka ditemui tersadai di Pantai Kampung Lok Dangkaan, Pitas, Sabtu lalu.

Katanya, keluarga mangsa kemudian membuat laporan kepada pihak berkuasa dan operasi mencari dan menyelamat dijalankan dengan kerjasama polis serta Agensi Penguatkuasaan MaritiM Malaysia (APMM).

“Bomba memulakan operasi pada 7.51 pagi semalam di sekitar kawasan pesisir pantai dan kawasan bakau berhampiran lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Bagaimanapun JBPM menerima makluman penemuan mayat di pesisir pantai berhampiran pusat peranginan dan terus bergerak ke lokasi dilaporkan,” katanya ketika dihubungi.

Affendy berkata, sebaik tiba di lokasi mangsa pertama yang dipercayai Jobik ditemui diangkat menggunakan bot JBPM.

Katanya, beberapa minit selepas itu, pasukan bomba menemui seorang lagi mangsa, iaitu Nick Hezron dan terus dinaikkan ke bot pasukan polis dengan dibantu bomba dan APMM.

“Kedua-dua mangsa terus dihantar ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) untuk diserahkan kepada polis dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi ditamatkan pada 1.55 tengah hari,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *