Polis Buru Dua Lelaki Curi Kabel Rempuh Sekatan Polis

PAPAR : Polis memburu dua suspek lelaki dipercayai terlibat dengan beberapa kes curi kabel yang bertindak merempuh sekatan polis malam tadi. 

Ketua Polis Daerah Papar DSP Batholomew Umpit berkata suspek yang berusia 36 dan 21 tahun itu dipercayai terlibat dengan sekurang-kurangnya 10 kes kecurian kabel telekomunikasi bernilai kira-kira RM100,000.

Beliau berkata dalam kejadian pada 10.30 malam itu, polis telah mengenal pasti lokasi suspek sebelum bertindak melakukan kepungan untuk menahan mereka.

“Bagaimanapun, kedua-dua suspek bertindak agresif menyerang polis dengan merempuh kenderaan pihak berkuasa sebelum melarikan diri,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Batholomew berkata kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan 379 kerana mencuri manakala siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan dadah dan curi.

Oleh itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua suspek supaya menghubungi pihak polis dengan segera. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *