Kontak Rapat Punca Kes di Sabah Meningkat, Masih Ramai Tidak Patuh SOP – Masidi

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun yang juga Jurucakap COVID-19 kerajaan Sabah.

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, masih ada rakyat di negeri itu yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) walaupun pelbagai seruan dan saranan talah dilakukan kerajaan.

Katanya, 80 daripada 244 kes Covid-19 baharu yang dicatatkan negeri itu, hari ini, adalah hasil daripada saringan kontak rapat sekali gus menunjukkan ada keberangkalian tinggi berlakunya ketidakpatuhan SOP.

”Setakat ini, daerah zon hijau hanya tinggal satu dan dengan jumlah catatan sebanyak 80 kes daripada saringan kontak rapat, dapat disimpulkan terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak kerajaan,” katanya dalam taklimat harian perkembangan Covid-19 Sabah, hari ini.

Masidi yang juga jurucakap negeri berkaitan Covid-19 berkata, selain 80 kes daripada saringan kontak rapat, 63 lagi kes baharu yang dicatatkan hari ini adalah hasil saringan kluster.

Selain itu, katanya, 26 kes adalah daripada saringan bergejala, 59 kes daripada saringan bersasar manakala 16 kes lagi daripada lain-lain kategori.

Terdahulu, beliau berkata 244 kes baharu dicatatkan di Sabah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kini sebanyak 71,189.

Katanya, tiada kes kematian direkodkan hari ini manakala 228 lagi pesakit telah sembuh dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 68,536.

”Sementara itu, seramai 1,686 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 410 orang di hospital, 1,154 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) manakala 122 di pusat tahanan sementara (PTS) atau penjara.

”Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 61 orang dan 19 lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *