IPD Penampang Tambah SJR Di ‘Laluan Tikus’

Mohd Haris Ibrahim

PENAMPANG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang mengambil inisiatif memperkasakan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 seiring arahan pengasingan di daerah ini serta Putatan dan Kota Kinabalu dengan menambah Sekatan Jalan Raya (SJR) di laluan altenatif yang dikenalpasti.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata penambahan SJR itu dilaksanakan di Jalan Tulangis di sini.

“Seperti sedia maklum laluan Jalan Tulangis ini digunakan oleh pengguna jalan dari arah Penampang ke Putatan untuk mengelak dari melalui SJR sedia ada di jalan utama yang ada di daerah ini.

“Polis juga mengambil inisiatif menutup dua jalan utama dan tiga U-Turn termasuk Jalan Kobusak berhampiran stesen minyak serta laluan masuk dari Penampang ke Cybercity.

“Kedua-dua laluan ini yang juga laluan utama penduduk ditutup selepas penilaian bahawa penutupan ini tidak menyebabkan kesukaran kepada pengguna jalan berikutan terdapat jalan altenatif lain yang boleh digunakan untuk urusan mendapatkan keperluan harian serta mereka yang keluar bekerja,” katanya semasa meninjau pembukaan SJR di Jalan Tulangis di sini.

Haris berkata pihaknya menasihatkan orang ramai yang tinggal berdekatan dengan kawasan ini agar memberikan kerjasama sepenuhnya untuk mematuhi arahan ini bagi bersama-sama melandaikan penularan COVID-19 di daerah ini.

“Saya harapakan agar penduduk tidak melakukan perbuatan mengalihkan penghadang jalan secara haram kerana sesiapa yang membuka laluan ini akan dikenakan tindakan tegas mengikut sudut perundangan,” katanya.

Menurutnya sejak laluan ini ditutup kira-kira 30 kenderaan sudah berpatah balik dan kebanyakkan adalah penduduk yang tinggal di kawasan berdekatan ingin membeli barangan keperluan di Lido dan pihaknya sudah menerangkan perihal kawasan berkenaan yang sudah terletak di Kota Kinabalu dan menasihatkan agar penduduk mendapatkan barangan di daerah ini sahaja.

Dalam pada itu Haris berkata sejak arahan pengasingan daerah dikeluarkan, pihaknya mengubah strategi kedudukan SJR iaitu SJR di Kampung Dumpil yang didirikan di laluan Papar ke Kota Kinabalu sebelum ini ditukar ke laluan Puatatan ke Penampang.

“Ini adalah bagi mengelakkan dari berlakunya perbuatan rentas daerah dari Putatan ke Penampang tanpa pengawasan rapi.

“IPD Penampang juga kini masih dalam proses penilaian serta penelitian berkenaan laluan tikus serta laluan altenatif lain yang harus diambil tindakan selepas ini.

“Untuk penyelesaian masalah kesesakan di SJR pula kita mengambil inisiatif membuka dua laluan pada waktu puncak kepada mereka yang keluar bekerja dan akan dikurangkan kepada satu laluan sahaja selepas waktu puncak berakhir bagi memastikan penguatkuasaan lebih efektif,” katanya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *