Polis Penampang Tahan Tujuh Pemandu Mabuk

Gambar IPD Penampang

PENAMPANG: Seramai tujuh pemandu ditahan selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam pemeriksaan jalan di Jalan Kota Kinabalu- Penampang berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahang, malam tadi.

Operasi bersepadu ‘Op Mabuk’ yang berakhir jam 2 pagi itu dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah  bersama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, sepanjang operasi berkenaan, sebanyak 75 kenderaan diperiksa.

Katanya, tujuh individu ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol manakala 22 saman lago dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya, tiada lesen memandu, mengubahsuai kenderaan dan lesen memandu tamat tempoh.

“Tujuh pemandu kenderaan terbabit disiasat mengikut Seksyen 45 A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara selama dua tahun dan denda tidak kurang dari RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan IPD Penampang.

Mohd Haris berkata, operasi kali ini membabitkan kekuatan seramai dua pegawai kanan polis yang diketuai oleh Pegawai Turus Penguatkuasa JSPT Sabah, Asisten Superintendan Andi Baso Andi Mappangerang.

Katanya, operasi turut dibantu Ketua BSPT IPD Penampang, Inspektor Jupri Usman bersama 17 anggota polis.

“Seramai 80 individu berjaya diperiksa dan operasi kali ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Operasi ini juga antara lainnya bertujuan untuk memantau keselamatan pengguna jalan raya terutamanya di musim perayaan Pesta Kaamatan,” katanya. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *