Zon Merah Di Sabah Meningkat Kepada Sembilan Daerah

KOTA KINABALU: Daerah dalam zon merah di Sabah meningkat semula hari ini, berikutan peningkatan kes baharu COVID-19 dengan sembilan daerah berada dalam zon itu, berbanding tujuh daerah semalam.

Sembilan daerah terbabit ialah Kota Kinabalu dengan 40 kes baharu, iaitu yang tertinggi di Sabah hari ini, Tawau (26 kes), Kalabakan (15), Kinabatangan (12), Lahad Datu (11), Sandakan (tujuh), Kunak (empat), Papar (dua) dan Putatan (satu).

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata peningkatan dearah dalam zon merah itu disebabkan perubahan status daerah Papar dan Kalabakan yang sebelum ini berada dalam zon jingga.

Bagi zon jingga, katanya, dua daerah berada dalam zon itu hari ini, iaitu Penampang dan Tuaran yang masing-masing mencatat lima dan dua kes baharu.

“Daerah dalam zon hijau ada enam hari ini iaitu Sipitang, Pitas, Tambunan, Tenom, Kota Marudu dan Tongod, manakala baki 10 daerah lagi berada dalam zon kuning,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, hari ini Sabah mencatat 131 kes baharu COVID-19 dengan satu kematian yang dilaporkan di Tawau, manakala seramai 115 pesakit sembuh.

Katanya, daripada 131 kes itu, sebanyak 70 kes atau 53.4 peratus dikesan melalui saringan kontak rapat, diikuti 42 kes atau 32 peratus menerusi kluster sedia ada dan 15 kes arau 11.6 peratus saringan bergejala.

Sementara itu, katanya, kerajaan negeri bersetuju supaya tiga lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Tawau iaitu Taman Tawau Lama, Kampung Batu Payung dan Kampung Simpang 3A, Merotai besar ditamatkan mulai hari ini dan esok. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *