Saya Sudah Divaksin, Setakat Ini OK – Najib

Najib Razak bagaimanapun tidak memaklumkan jenis vaksin yang diterimanya.

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini menerima suntikan vaksin Covid-19 di sebuah pusat kesihatan.

Menurut perkongsian terbaharu di laman Facebook, beliau memuat naik gambar dan video berdurasi 42 saat proses suntikan itu.

Bagaimanapun, Najib tidak memaklumkan jenis vaksin yang diterimanya iaitu sama ada Comirnaty oleh Pfizer-bioNTech atau Sinovac dari China.

“Saya sudah divaksin. Setakat ini okey. Terima kasih kepada doktor, jururawat dan pembantu kesihatan tadi. Semoga pelaksanaan vaksinasi dipercepatkan juga untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, beliau pernah meluahkan hasrat untuk disuntik dengan vaksin Sinovac selepas Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin menjadi individu pertama menerima vaksin itu.

Terdahulu, Khairy dilaporkan berkata Najib membatalkan janji temu suntikan vaksin yang ditetapkan pada 6 Mac lalu.

Bagaimanapun, Najib menjelaskan tindakan itu adalah kerana ingin memberi laluan kepada petugas barisan hadapan untuk menerima suntikan terlebih dahulu.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *