Muhyiddin Adakan Kunjungan Hormat Terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah

KOTA KINABALU, 22 Mac : Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, di sini.

Muhyiddin tiba di Istana Negeri pada pukul 11.40 pagi diiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor bersama-sama dua timbalan ketua menteri iaitu Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam dengan disambut pegawai istana.

Perdana Menteri kemudian menandatangani buku kehadiran tetamu istana sebelum dibawa ke Dewan Kunjungan Kecil untuk kunjungan hormat terhadap Juhar.

Juhar dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni berkenan menerima kunjungan rombongan Perdana Menteri yang julung kali diadakan selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membentuk Kerajaan Negeri Sabah pada September lepas.

Kedua-dua pemimpin kemudian mengadakan pertemuan yang berlangsung selama kira-kira 35 minit sebelum beredar ke Dewan Kunjungan Besar untuk santapan tengah hari.

Perdana Menteri yang berada di Sabah bagi lawatan rasmi dua hari sejak Ahad, menghadiri taklimat pembangunan negeri Sabah dan Sesi Balai Rakyat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah pagi tadi, sebelum meneruskan acara melawat Pusat Vaksinasi COVID-19 di Dewan Serbaguna, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *