Aktiviti Kunjung-Mengunjung Cetus Kluster Di Keningau

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan satu lagi kluster baharu COVID-19 yang berpunca daripada aktiviti kunjung-mengunjung ahli keluarga di Keningau.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kluster baharu itu mencatatkan 19 kes, sekali gus menjadikan daerah terbabit merekodkan kes paling tinggi di Sabah dengan 23 kes.

“Kes indeks adalah seorang wanita yang dikesan positif melalui saringan bergejala di sebuah pusat perubatan di Keningau pada 20 Mac lalu.

“Saringan kontak rapat mendapati 19 lagi kes positif dalam kalangan keluarga kes indeks dan hasil penelitian, kes indeks menyebarkan jangkitan wabak ini menerusi aktiviti kunjungannya secara kerap ke rumah anak-anaknya di mukim terbabit.

“Punca dan saringan kontak rapat masih giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata jumlah kes COVID-19 hari ini kembali dua angka berbanding semalam yang mencatatkan sebanyak 102 kes.

“Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) jumlah kes positif baharu COVID-19 hari ini sebanyak 50 kes, menjadikan jumlah kumulatif 54,259 kes dan tiada kes kematian direkodkan.

“Jumlah pesakit COVID-19 yang sembuh dan dibenarkan keluar hospital seramai 47 menjadikan jumlah kumulatif 53,360 orang.

“Seramai 361 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 142 orang di hospital dan 219 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *