LAHAD DATU, 5 Sept: Polis menahan seorang remaja lelaki dipercayai pengedar dadah dan merampas 59.93 gram dadah syabu dalam serbuan di Kampung Dasar Baru, Jalan Tengah Nipah, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata lelaki berumur 18 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Dadah selepas berkeadaan mencurigakan di hadapan sebuah rumah di kampung itu pada 9.30 malam.
“Sewaktu anggota memperkenalkan diri sebagai polis, suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan.
“Pemeriksaan lanjut pada beg silang jenama AIRWALK dipakai suspek menjumpai tiga peket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 59.93 gram (RM8,989.50), selain 14 peket plastik lutsinar kosong, gunting serta pemetik api,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Nasri, suspek yang tidak bekerja dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu untuk tindakan lanjut.
“Suspek tidak pernah melakukan kesalahan jenayah berdasarkan semakan rekod lampau,” katanya.
Kes kemudian disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.