
TENOM: Seorang lelaki maut, manakala isterinya parah dan sepupunya cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di Kilometer 7, Jalan Tenom-Enubai berhampiran Kampung Sri Meranti, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 malam itu, mangsa, berusia 41 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan akibat kecederaan parah dialami.
Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abd Razak berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika pacuan empat roda itu dalam perjalanan dari arah Kampung Bunsilon menuju ke Pekan Tenom.
Katanya, keadaan jalan ketika kejadian adalah lurus, namun permukaan basah akibat hujan selain pencahayaan yang gelap dipercayai menjadi faktor menyumbang kepada kemalangan.
“Sebaik tiba di lokasi, pemandu dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaan terbabas ke bahu kiri jalan dan terbalik.
“Akibat kemalangan itu, pemandu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isterinya berusia 37 tahun mengalami kecederaan parah termasuk patah rusuk kiri dan seorang lagi mangsa lelaki berusia 28 tahun cedera di kepala,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tenom untuk rawatan lanjut.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tenom sebelum dirujuk ke Hospital Keningau bagi tujuan bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah