Anak Dibaham Buaya Depan Mata Bapa di Kinabatangan

Pasukan bomba menjalankan operasi mencari mangsa di lokasi kejadian.

KINABATANGAN: Aktiviti rutin menjala udang bertukar tragedi apabila seorang lelaki dibaham buaya di hadapan bapanya dalam kejadian di sungai Kampung Segaliud, di sini, pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa berusia 28 tahun dikatakan turun ke tebing sungai bersama bapanya seperti kebiasaan.

Bagaimanapun, keadaan bertukar cemas apabila seekor buaya tiba-tiba muncul sebelum menyambar mangsa dalam sekelip mata.

Kejadian itu berlaku begitu pantas sehingga bapanya hanya mampu melihat mangsa ditarik ke dalam air oleh reptilia berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Hairi Otuh, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.22 malam.

Katanya, seramai empat anggota bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 30 kilometer dari balai.

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapatkan maklumat awal sebelum memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan sungai terbabit.

“Operasi SAR masih diteruskan dengan pemantauan rapi di lokasi kejadian bagi mengesan mangsa,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *