
SANDAKAN: Seorang lelaki warga emas maut selepas tertimbus tanah runtuh ketika cuba menghidupkan jana kuasa di bahagian belakang sebuah hotel di pusat bandar, di sini, awal pagi tadi.
Mangsa, Agustine Frederick J Lingam, 76, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dikeluarkan oleh pasukan penyelamat. Ketika kejadian cuaca hujan lebat menyebabkan bekalan elektrik di hotel berkenaan terputus.
Mangsa yang juga pekerja di hotel terbabit dipercayai cuba menghidupkan jana kuasa yang terletak di bahagian belakang bangunan bagi memulihkan bekalan elektrik, tetapi berlaku runtuhan tanah menyebabkan mangsa tertimbus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung berkata, bomba menerima panggilan pada jam 6.39 pagi dan menghantar 10 anggota ke lokasi kejadian.
“Kerja menyelamat dilakukan dengan menggunakan peralatan penyodok bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap, sebelum mangsa dapat dikeluarkan pada jam 7.14 pagi.
“Pemeriksaan pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Jimmy berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.19 pagi selepas memastikan keadaan kawasan selamat serta tiada lagi risiko bahaya.
Katanya mangsa tertimbus separuh badan akibat runtuhan tanah.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah