
KOTA KINABALU: Polis berjaya menahan suspek yang dikaitkan dengan kes pembunuhan kejam seorang wanita yang mayatnya dikerat tujuh bahagian dan dibuang di beberapa lokasi di Indah Permai, di sini, awal pagi tadi.
Suspek lelaki berusia lingkungan 70-an itu diberkas di sekitar Kota Kinabalu kira-kira jam 5 petang dalam operasi dijalankan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Luyang, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Bantuan Teknikal D8 JSJ IPK dan Bukit Aman.
Penahanan dilakukan dalam tempoh kurang 24 jam selepas penemuan bahagian anggota badan mangsa berusia lingkungan 40-an oleh seorang pekerja lori sampah kira-kira jam 6.30 pagi.
Difahamkan, suspek dikenal pasti hasil petunjuk daripada mayat mangsa selepas penemuan kepala dan badan dalam operasi pencarian.
Petunjuk itu membolehkan polis menjejaki lokasi suspek sebelum berjaya menahannya.
Berdasarkan maklumat diperoleh, motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu yang membawa kepada pergaduhan antara suspek dan mangsa sebelum insiden kejam itu berlaku.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.
“Suspek lelaki tempatan berusia 70-an berjaya dikesan dan ditahan. Setakat ini motif kejadian dipercayai cemburu. Dengan tertangkapnya suspek utama ini kes berjaya diselesaikan.
“Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Difahamkan, suspek kini ditempatkan di hospital bagi menjalani pemeriksaan lanjut sebelum proses reman dijalankan.
Terdahulu, mayat seorang wanita ditemui dalam keadaan terpisah apabila beberapa bahagian anggota badannya dijumpai di tempat pembuangan sampah di Taman Indah Permai.
Penemuan awal membabitkan kaki dan tangan manusia berhampiran tempat letak kereta bersebelahan pasar raya berkenaan kira-kira jam 6.30 pagi.
Susulan itu, polis menjalankan pencarian lanjut dengan bantuan pekerja lori sampah.
Hasil pencarian dan siasatan membawa kepada penemuan kepala serta badan mangsa kira-kira jam 11.40 pagi di satu lagi lokasi pembuangan sampah berhampiran Pasaraya Bataras Indah Permai.
Bagaimanapun, setakat jam 12 tengah hari tadi, dua lagi anggota badan masih belum ditemui dan usaha pencarian diteruskan.
Sumber: Berita Harian
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah