Bas Persiaran Terbabas di Tamparuli, 10 Cedera Ringan

Pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat semua mangsa yang terbabit.

TAMPARULI: Seramai 10 individu, termasuk sembilan pelancong warga China, cedera ringan selepas sebuah bas persiaran terbabas dan terjatuh ke dalam longkang di Jalan Minangkob, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.36 pagi itu, bas persiaran yang membawa 10 orang termasuk pemandu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Kurong Ak Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, sebuah bas persiaran didapati berada dalam longkang selepas terbabas.

“Semua mangsa dilaporkan cedera ringan dan berjaya keluar sendiri dengan bantuan orang awam sebelum dihantar ke Hospital Tuaran untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ni.

Menurutnya, kemalangan itu membabitkan seorang pemandu lelaki berusia 24 tahun, warga tempatan, manakala sembilan penumpang terdiri daripada lima lelaki, tiga wanita dan seorang kanak-kanak lelaki, kesemuanya warga China.

“Kes berkenaan kini diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala operasi pemantauan dan pemeriksaan keselamatan ditamatkan pada jam 9.20 pagi setelah lokasi disahkan selamat,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *