Satu Maut, Seorang Cedera Terjunam Ke Dalam Lubang Pembentungan di Lahad Datu

Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dari kenderaan.

LAHAD DATU: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas kenderaan dinaiki terbabas sebelum terjatuh ke dalam lubang pembentungan sedalam kira-kira tujuh meter di Jalan Pantai menghala ke bandar Lahad Datu, pagi Jumaat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata, dalam kejadian jam 7.04 pagi itu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan melalui talian balai memaklumkan insiden kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Katanya, deramai 14 anggota bersama beberapa jentera digerakkan ke lokasi sejauh dua kilometer.

“Jentera pertama tiba pada jam 7.08 pagi dan mendapati kenderaan terbabas sendiri sebelum melanggar penghadang jalan lalu terjatuh ke dalam lubang pembentungan atau ‘jacking pit’ yang masih dalam pembinaan.

“Lubang pembentungan berkenaan dianggarkan sedalam tujuh meter dengan lebar kira-kira 6.5 meter.

“Terdapat dua mangsa berada di dalam lubang berkenaan ketika pasukan bomba tiba dan pihak bomba segera menjalankan operasi menyelamat dengan menggunakan tali serta pengusung bagi membawa mangsa keluar dari kawasan berbahaya,” katanya.

Katanya, kedua-dua mangsa berjaya dinaikkan satu persatu dengan kaedah penyelamatan menegak.

“Pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemudian membuat pemeriksaan terhadap mangsa dan seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

“Seorang lagi mangsa berumur 34 tahun mengalami kecederaan termasuk patah tangan, mangsa cedera diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital menaiki ambulans KKM bagi rawatan lanjut.

“Mayat mangsa maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, pihak bomba seterusnya memasang sawar keselamatan di sekitar lokasi bagi mengelakkan risiko tambahan kepada pengguna jalan raya dan pasukan penyelamat.

“Pemeriksaan akhir mendapati tiada lagi ancaman bahaya di kawasan kejadian dan ditamatkan pada jam 9.07 pagi,” katanya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar memandu secara berhati-hati terutama di kawasan pembinaan serta jalan yang mempunyai risiko permukaan tidak rata bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *