
TAWAU: Seorang lelaki cedera selepas lori muatan 10 tan dipandunya terbabas sendiri sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter berhampiran Taman Rekreasi Air Panas, di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.43 pagi sebelum menggerakkan 11 anggota ke lokasi sejauh 23 kilometer.
Menurutnya, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 10.54 pagi dan mendapati seorang mangsa lelaki berusia 41 tahun tersepit di dalam lori yang masih dalam keadaan tidak stabil.
“Pasukan bomba menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dengan menggunakan teknik penambatan (anchor) serta bantuan jentera jengkaut dan lori tunda bagi memastikan keselamatan operasi.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dan diangkat menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian dada, tangan dan kaki.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.20 petang selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah