Pemandu Maut Kereta Bertembung Lori Tangki Di Tawau

Pemandu kereta disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

TAWAU : Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori tangki membawa muatan minyak sawit di Jalan selepas Bandar Balung, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, mangsa berusia 24 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Madzlan Sarman, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 pada jam 11.44 pagi.

“Sepasukan 10 anggota bersama dua jentera dari BBP Tawau digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Setibanya pasukan di lokasi, kemalangan membabitkan sebuah lori tangki membawa muatan minyak sawit dan sebuah kereta sedan.

“Pemandu kereta berkenaan sudah dikeluarkan orang awam sebelum pasukan tiba,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala pemandu kereta disahkan meninggal dunia oleh petugas KKM.

Menurutnya, lori tangki berkenaan dialihkan menggunakan kren oleh syarikat bertanggungjawab bagi memastikan aliran lalu lintas kembali lancar.

“Pasukan bomba turut membuat pemeriksaan bagi memastikan tiada risiko bahaya lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 1.10 tengah hari.

“Kes disiasat oleh pihak polis, manakala mayat mangsa diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *