
LAHAD DATU: Seorang lelaki warga asing dilaporkan hilang selepas dipercayai dibaham buaya ketika sedang membaiki pukat di Sungai Silabukan, Indrawan Estate, di sini, tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah malam itu, mangsa berusia 27 tahun dikatakan berada berhampiran tebing sungai sebelum diserang reptilia terbabit.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau, berkata pihaknya menerima laporan kejadian daripada seorang pengadu sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
“Sepasukan polis dari Balai Polis Lahad Datu bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) digerakkan ke tempat kejadian bagi menjalankan pencarian awal.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada jam 9.15 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, kes setakat ini diklasifikasikan sebagai laporan orang hilang (OH) dan operasi pencarian diteruskan di kawasan sungai berkenaan.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang awam supaya tidak melakukan sebarang aktiviti di kawasan berisiko yang diketahui mempunyai buaya bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ketua Polis Balai Lahad Datu, Inspektor Adzilee Suili di talian 014-8665087 bagi membantu siasatan,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah