
TAWAU : Seorang wanita, Darna Tajudin, 41, yang sebelum ini parah selepas dirempuh sebuah pikap dipandu lelaki dipercayai mabuk, disahkan meninggal dunia pagi tadi selepas tujuh hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tawau.
Mangsa mengalami kematian otak (brain death) dan disahkan meninggal dunia pada jam 8.37 pagi.
Kejadian berlaku pada 10 Ogos lalu kira-kira jam 7.55 malam di Batu 9, Jalan Apas, ketika mangsa sedang berjogging bersama beberapa rakan dari Bandar Sri Indah menuju ke Jalan Apas (T2).
Mangsa dirempuh selepas Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki berusia 57 tahun hilang kawalan selepas melanggar belakang sebuah Perodua Alza, lalu terbabas ke bahu jalan dan melanggar mangsa.
Adik mangsa, Yusmi Tajudin, 39, memaklumkan bahawa kakaknya meninggalkan lima orang anak, berumur antara 9 hingga 18 tahun. Proses pengebumian masih menunggu prosedur siasatan polis.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata kes kini disiasat di bawah Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah