
KOTA BELUD: Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Lebak Moyoh, Jalan Kudat Bypass di sini, pagi tadi.
Mangsa berumur 63 tahun disahkan meninggal dunia dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu.
Ketua Polis Daerah Kota Belud Superintenden Shahrudin Mat Husain berkata, kejadian berlaku apabila lori 10 tan yang dipandu seorang lelaki berumur 60 tahun melalui susur jalan dari arah kiri ke kanan.
Menurutnya, ketika membuat pergerakan itu, lori berkenaan bergesel dengan motosikal mangsa yang berada di hadapan menyebabkan penunggang mengalami kecederaan parah.
“Pegawai perubatan dari Hospital Kota Belud yang hadir ke lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk proses lanjut, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Shahrudin turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan, selain menggesa saksi kejadian untuk tampil membantu pihak polis.
Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan lalu lintas dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah