11 Warga Pakistan Ditahan Dalam Operasi Imigresen di Semporna

Pasukan operasi menjalankan operasi di sekitar daerah Semporna dan menahan 11 warga Pakistan.

SEMPORNA : Seramai 11 lelaki warga Pakistan ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam satu Operasi Sapu yang dijalankan sekitar daerah ini semalam.

Operasi yang bermula jam 11 malam hingga 3 pagi itu diketuai Unit Penguatkuasaan Pejabat Imigresen Semporna dan melibatkan 12 pegawai penguat kuasa.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata tangkapan dibuat hasil risikan awal dan aduan awam mengenai kehadiran warga asing tanpa dokumen sah.

“Hasil pemeriksaan terhadap 13 individu, seramai 11 lelaki warga Pakistan ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan.

“Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) kerana tidak memiliki pas atau permit sah untuk berada di Malaysia dan Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semua tahanan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Tawau bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati antara mereka mendakwa memiliki pas jaminan pasangan kepada warganegara Malaysia manakala seorang lagi mengaku mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk bekerja di Kota Kinabalu.

“Namun begitu, kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran Pendatang Tanpa Izin (PTI) di negeri ini.

“Orang awam digesa menyalurkan maklumat berkaitan PTI atau premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen sah kepada pihak berkuasa agar tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya.

Sitti Saleha berkata, JIM Sabah kekal komited dalam memastikan hanya individu yang mematuhi undang-undang imigresen dibenarkan berada dan bekerja di Malaysia.

“Operasi penguatkuasaan akan diteruskan bagi mengesan, menangkap, mendakwa serta memindah warga asing yang melanggar undang-undang negara mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *