
LAHAD DATU : Seorang lelaki warga asing berusia 46 tahun berdepan hukuman gantung sampai mati selepas ditahan memiliki dadah jenis syabu seberat 50.73 gram dalam serbuan di Kampung Pasusul, Felda Sahabat 18, semalam.
Suspek ditahan menerusi Ops Tapis yang dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, hasil risikan berterusan berhubung aktiviti pengedaran dadah di kawasan terbabit.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, pemeriksaan di kediaman suspek membawa kepada penemuan dadah yang disembunyikan dalam sebuah bekas plastik.
“Selain syabu, polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk penyalahgunaan dadah, termasuk sebuah motosikal dan sebuah kenderaan pacuan empat roda,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan, serta Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana penyalahgunaan dadah.
Menurut Jimmy, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket dan modus operandi pengedaran dadah di kawasan Felda Sahabat dan sekitarnya.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti pengedaran atau penyalahgunaan dadah.
“Polis komited untuk membanteras jenayah dadah demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti sentiasa terpelihara,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah