
SANDAKAN : Tiga individu, termasuk seorang wanita, ditahan dalam Op Tapis yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, semalam.
Operasi yang bermula sekitar jam 3 petang itu dijalankan hasil risikan dan maklumat awam, dengan tumpuan di kawasan Kampung Sim-Sim serta pusat bandar Sandakan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Ramasamy Kuppan berkata, dua lelaki dan seorang wanita ditahan dalam serbuan tersebut dan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap semua suspek turut mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine (syabu).
“Susulan itu, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, dan kesemua suspek kini ditahan di lokap IPD Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, pelaksanaan operasi itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah ini.
“Polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan dadah kerana ia mengancam keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” tegasnya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah