
SEMPORNA: Pulau Bohey Dulang yang terletak dalam Taman Marin Tun Sakaran di Semporna akan ditutup sementara kepada orang awam selama empat hari bermula 10 hingga 13 Jun ini.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Taman-Taman Sabah (TTS), penutupan ini dibuat bagi memberi laluan kepada pelaksanaan Operasi Mitigasi Ancaman Buaya yang akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar (JHL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut TTS, operasi ini adalah langkah penting bagi menangani isu keselamatan yang berkaitan dengan kehadiran buaya di kawasan tersebut.
Katanya, penutupan sementara ini juga bertujuan memastikan operasi dapat dijalankan dengan lancar tanpa sebarang gangguan dari aktiviti pelancongan mahupun kunjungan awam.
“Langkah ini diambil demi memastikan keselamatan semua pihak terjamin dan bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini sepanjang operasi dijalankan,” katanya
TTS turut memohon maaf atas segala kesulitan yang mungkin timbul dan menghargai kerjasama serta pemahaman orang awam terhadap keperluan operasi ini.
Orang awam dinasihatkan untuk merancang semula lawatan mereka ke pulau tersebut dan mendapatkan maklumat lanjut daripada saluran rasmi Taman-Taman Sabah.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah