Polis Tahan Lelaki, Rampas Dadah Bernilai RM1,750 Di Tawau

Suspek berjaya ditahan pihak polis selepas nekad terjun ke kawasan lumpur.

TAWAU: Seorang lelaki yang terbabit dalam sindiket pengedaran dadah bertindak terjun ke dalam lumpur bagi mengelak daripada ditahan pihak polis dalam Op Tapis di kawasan Batu 4, Jalan Apas, di sini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 40 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan selepas anggota polis turut masuk ke kawasan lumpur berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap suspek menemukan 80 peket plastik lutsinar pelbagai saiz mengandungi hablur jernih yang disimpan di dalam beg silang miliknya.

“Semua dadah jenis syabu seberat 50.06 gram itu dianggarkan bernilai RM1,750.

“Semakan rekod jenayah lampau juga mendapati suspek pernah ditahan atas kesalahan dadah,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis kini sedang giat memburu saki baki anggota sindiket dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya supaya menghubungi polis melalui hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di talian 089-772121.

“Orang ramai juga boleh menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi membantu pihak berkuasa membanteras dadah,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *