
KUALA PENYU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah berjaya menahan 57 warga asing dalam satu operasi penguatkuasaan bersepadu yang dijalankan di dua penempatan warga asing sekitar daerah ini Rabu lalu.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, Operasi bermula pada jam 12.30 pagi hingga 4.00 pagi itu dilaksanakan sepasukan pegawai dan anggota dari tiga daerah iaitu Kota Kinabalu, Sipitang dan Tenom selain mendapat kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah.
Menurutnya, operasi dilaksanakan hasil daripada risikan dan aduan awam yang dijalankan selama kira-kira sebulan.
“Seramai 81 individu diperiksa dalam operasi itu, terdiri daripada warga tempatan dan warga asing sebelum seramai 57 orang warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bercakap lanjut beliau berkata, tangkapan terbabit melibatkan 22 lelaki, enam wanita, 17 kanak-kanak lelaki dan 11 kanak-kanak perempuan yang kesemuanya warganegara Filipina, serta seorang lelaki warganegara Indonesia.
“Kesemua individu yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan tinggal melebihi tempoh.
“Kesemua yang ditahan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Papar untuk siasatan lanjut,” katanya.
Katanya, JIM Sabah menegaskan akan terus melaksanakan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan undang-undang Mengikut Akta Imigresen, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
“Tindakan juga akan diambil terhadap individu atau pihak yang menggaji atau melindungi Pendatang Tanpa Izin (PTI),” katanya.
Operasi SAR turut dibantu Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).