
PENAMPANG: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Penampang menahan tiga orang lelaki dalam satu operasi di sekitar daerah ini kira-kira jam 12.15 malam Rabu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, hasil pemeriksaan terhadap suspek berumur antara 18 hingga 38 tahun itu menemukan pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM3,300.
“Antara dadah yang dirampas termasuklah tiga paket plastik biru mengandungi dadah jenis ekstasi seberat 113.52 gram, 15 biji pil berlainan warna disyaki dadah jenis ekstasi dengan berat kasar 8.08 gram.
“Turut dirampas dua paket plastik lutsinar berlainan saiz disyaki mengandungi dadah jenis ketamin dengan berat kasar 5.00 gram,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Sammy berkata, ketiga-tiga suspek turut didapati positif dadah jenis ketamin setelah ujian saringan awal air kencing dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang memperuntukkan hukuman mandatori atau penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 12 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati.
“Kes turut disiasat mengikutSeksyen 39A(1) ADB 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
“Kesemua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Beliau juga menyeru masyarakat agar tidak terjebak dengan penyalahgunaan dadah serta terus menjadi mata dan telinga pihak polis dalam menyalurkan maklumat bagi membanteras gejala ini.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah