
RANAU: Dua kes kemalangan berlaku minggu ini melibatkan kenderaan melalui Jalan Kinarasan antara Ranau-Tambunan ekoran kerosakan jalan berkenaan yang semakin kritikal.
Berikutan kejadian itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta bergerak memantau kerosakan, seterusnya melaksanakan kerja pembaikan demi keselesaan pengguna.
Ramai pengguna yang ditemui mengharapkan agar kerja pembaikan segera dilaksana bagi mengelak lebih banyak perkara tidak diingini berlaku.
Ketua Kampung Kg. Kinarasan, KK Sallehudin Aniajak, berkata laluan jalan antara Ranau-Tambunan kini terdapat banyak kerosakan yang membahayakan.
Beliau mendakwa laluan berkenaan sudah lama tidak diselenggara dengan sempurna.
Ketua Kampung Tungou, KK.Musinin Gisiu, berkata kerja pembaikan perlu disegerakan kerana dikhuatiri ia dijadikan modal politik oleh pihak pembangkang.
Katanya, memandangkan kini sudah semakin pilihan raya, maka pembangkang akan memperbesarkan isu-isu sedemikian.
“Tujuannya untuk memperkecil-kecilkan kemampuan kerajaan yang ada sekarang,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Painin Wali, juga berkata terdapat banyak bahagian jalan antara Ranau-Tambunan yang mengalami kerosakan teruk.
“Keadaan ini sememangnya membahayakan, justeru tindakan segera perlu diambil bagi memperbaiki keadaan,” katanya.
Antara jalan yang perlu pembaikan segera ialah Jalan Sumaang, Jalan Kinarasan dan Jalan Tungou.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah