
KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas sejumlah minuman keras, rokok dan barangan elektrik disyaki diseludup bernilai RM878,858 dalam empat serbuan berasingan bulan ini.
Semua barangan berkenaan dipercayai dibawa masuk tanpa cukai untuk pasaran tempatan dengan mengisytiharkan sebagai barangan lain atau pengikraran palsu.
Memangku Tugas-Tugas (MTT) Penolong Ketua Pengarah JKDM Sabah, Saidin Jalaluddin berkata rampasan pertama dilakukan hasil pemeriksaan ke atas tiga kontena di Pelabuhan Sepanggar pada 4 Mac lalu.
Katanya, kontena berkenaan didapati mengandungi 41,472 minuman keras pelbagai jenis yang tidak berkastam bernilai RM809,028.
“Kes kedua pula kira-kira jam 2 petang hari sama, apabila pasukan menyerbu sebuah premis di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.
“Hasil pemeriksaan, pasukan merampas 751.16 liter minuman keras pelbagai jenama yang juga melanggar peraturan mengikut Akta Kastam 1967.
“Rampasan terus dilakukan membabitkan nilai RM2,144 dengan cukai sebanyak RM6,723,” katanya pada sidang media di Wisma Penguatkuasaan Sepanggar, di sini, hari ini.
Saidin berkata, rampasan ketiga dilakukan pada 5 dan 7 Mac lalu di sebuah stor di kawasan ladang dan pasar tamu Brumas, Tawau.
Katanya, hasil pemeriksaan menemui 26,726 batang rokok seludup bernilai RM25,015 manakala rampasan keempat membabitkan wayar dan barangan elektrik di kawasan Terminal Bas Ekspress Lahad Datu pada 6 Mac lalu.
“Antara yang dirampas adalah 216 gulung wayar dan lampu LED pelbagai jenama disyaki barang larangan bernilai RM5,060 termasuk cukai,” katanya.
Saidin berkata berdasarkan kepada keempat-empat kes, modus operandi yang digunakan adalah membuat pengikraran palsu.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.
SumbeR: BH Online
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah