Hajiji Beri Kejutan, Umum Program Baharu Bantu Rakyat Sabah

Seorang penerima menunjukkan telefon bimbitnya kepada Hajiji bahawa wang bantuan Syukur sudah dimasukkan ke dalam akaunnya.

TUARAN : Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bakal mengumumkan satu lagi program baharu bagi membantu meringankan beban rakyat di negeri ini pada tahun ini.

Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif baharu oleh kerajaan Sabah itu adalah tambahan kepada beberapa program yang sudah dilakukan termasuk Program Sentuhan Kasih Rakyat (Syukur).

“Sebagai kerajaan yang sentiasa prihatin dan peduli rakyat, terutama dengan peningkatan kos sara hidup masa kini, kita kena memikirkan sesuatu untuk membantu rakyat di negeri ini.

“Program ini dijangka diumumkan pada tahun ini sekiranya semua perancangan berjalan lancar dan teratur selain mengikut kemampuan kewangan negeri.

“Saya dan rakan-rakan dalam Kabinet negeri sentiasa memikirkan usaha dan inisiatif yang boleh membantu rakyat terutama mereka yang miskin dan miskin tegar. Apabila semua perbincangan sudah selesai, kita akan umum kepada rakyat,” katanya selepas pelancaran Syukur 2025 di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah di sini pada Rabu.

Bercakap mengenai program Syukur itu, Hajiji berkata, ia bertujuan untuk meringankan beban kewangan rakyat dan memastikan kesejahteraan kehidupan mereka terjaga.

“Program ini menyediakan bantuan tunai sebanyak RM300 setiap bulan kepada penerima yang layak sehingga 31 Disember 2025 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM358.5 juta dan akan memberi manfaat kepada 100,000 penerima.

“Bermula pada Februari 2025, seramai 72,058 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem e-Kasih setakat 31 Disember 2024 telah menerima manfaat ini.

“Daripada jumlah itu, seramai 52,201 penerima telah menerima bayaran terus ke akaun bank bermula 17 Februari lalu manakala 19,857 lagi penerima yang tidak mempunyai akaun dibayar secara berperingkat sama ada menerusi bantuan secara tunai atau pembukaan akaun khas bagi memudahkan pembayaran fasa pertama dibuat sehingga Mac ini,” katanya

Katanya lagi, bagi pelaksanaan fasa kedua program ini iaitu pada Mei 2025 akan memperluaskan lagi manfaat kepada lebih ramai penerima.

“Mereka yang tercicir dan layak mendapatkan bantuan ini tapi tidak berdaftar dalam Pangkalan Data Negeri Sabah (PADANS) boleh mengemukakan aduan kepada ketua kampung atau Pegawai MySMJ Profiler,” katanya.

Sementara itu, amaun pembayaran Syukur akan dibayar secara berfasa dengan setiap fasa adalah dibayar secara sekali gus bagi tempoh tiga bulan iaitu sebanyak RM900 akan dikreditkan ke akaun kepada penerima yang mempunyai akaun dan penerima yang tiada akaun bank diberi secara tunai.

Bagi pembayaran fasa pertama iaitu Januari sehingga Mac ini diagihkan bermula Februari, manakala fasa kedua iaitu April sehingga Jun ini diagihkan bermula April.

Fasa ketiga iaitu Julai sehingga September diagihkan bermula September dan fasa keempat pula pada Oktober sehingga Disember yang akan diagihkan pada Oktober tahun ini juga.

Bagi tujuan semakan penerima boleh diakses bermula serta merta melalui Laman web sistem PADANS https://padans.sabah.gov.my/; Laman web http://sukur.sabah.gov.my/; YONO Superapp; dan notifikasi pembayaran melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

SumbeR: SINAR

Punca kebakaran belum dikenal pasti.Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *