
PENAMPANG: Seorang lelaki penunggang motosikal maut selepas dilanggar sebuah kenderaan dalam kemalangan di Jalan Penampang-Tambunan berhampiran sebuah kedai perabot dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Penampang Superintendan Sammy Newton berkata, kejadian terbabit berlaku kira-kira jam 5.30 pagi.
Katanya, hasil siasatan awal pihak polis mendapati, motosikal mangsa dilanggar oleh sebuah kenderaan yang dipandu seorang lelaki tempatan berumur 26 tahun.
Menurutnya, akibat dari kemalangan itu, mangsa yang berumur 31 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu untuk bedah siasat, manakala pemandu kenderaan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Penampang untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, pihaknya meminta saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan dan berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Insp. Noor Ishamudin Ismail di talian 017-6703700.
Selain itu katanya, pihak polis ingin menasihatkan orang awam supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu di jalan raya dan meminta agar tidak menularkan sebarang imej atau klip video tempat kejadian di rangkaian media sosial bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.
Punca kebakaran belum dikenal pasti.Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah