
LAHAD DATU: Seorang wanita mengalami kerugian sebanyak RM1,220 selepas disamun sekumpulan lelaki bersenjata tajam di Payang Batu 7, di sini, Sabtu lepas.
Terdahulu, sebuah video turut tular di media sosial yang memaparkan perbuatan salah seorang suspek terbabit mengacu pisau di leher mangsa.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbahrin Ismail berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian samun itu daripada pemilik kedai runcit berkenaan.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di sebuah kedai runcit berhampiran simpang Payang, Batu 7, Lahad Datu.
“Siasatan mendapati ketika kejadian, mangsa sedang mengira barangan yang dibeli oleh suspek, namun secara tiba-tiba suspek mengeluarkan sebilah pisau dan meletakkan di leher mangsa.
“Suspek kemudian membuka laci meja dan mengambil sejumlah wang tunai berjumlah RM1,220 dan melarikan diri dengan menggunakan motosikal,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan bersenjata.
“Pihak polis sedang giat mengesan suspek yang masih bebas dan meminta orang ramai yang mengetahui kejadian ini untuk memberikan maklumat.
“Maklumat boleh diberikan kepada Pegawai Penyiasat kes Inspektor Iskandar Kiprawi di talian 089-881255 atau mana-mana balai polis terdekat untuk membantu siasatan,” katanya.
Punca kebakaran belum dikenal pasti.Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah