
TAWAU : Perbincangan menjadi tegang punca seorang lelaki bertindak agresif dengan melibas parang ke arah rakannya sehingga cedera dalam kejadian di kawasan perumahan ladang Merotai Besar, di sini pada Jumaat lalu.
Bagaimanapun, suspek berusia 47 tahun itu akhirnya berjaya ditahan pada jam 12.15 tengah hari Rabu selepas pihak polis menerima maklumat berkaitannya.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan tersebut dibuat susulan kejadian yang dilaporkan berlaku pada minggu lalu.
“Kejadian berlaku sekitar jam 7 malam iaitu mangsa seorang lelaki berusia 30-an dikatakan sedang berbincang dengan suspek mengenai isu peribadi yang berlarutan sebelum ini.
“Namun keadaan menjadi tegang sehingga suspek bertindak agresif lalu dalam keadaan marah telah mengambil parang dari rumah dan melibas ke arah mangsa.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian lengan tangan kiri,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Jasmin berkata, parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut turut dirampas ketika tangkapan dibuat terhadap suspek.
“Pemeriksaan lanjut pada rekod lampau, suspek didapati mempunyai satu rekod jenayah di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
“Dalam kes ini, suspek ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata berbahaya.
“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Punca kebakaran belum dikenal pasti.Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah