SANDAKAN: Seorang lelaki ditahan selepas mengamuk dan mencederakan lima individu termasuk tiga wanita di sebuah restoran di Batu 3 Sandakan, pagi tadi.
Suspek warga tempatan berusia 29 tahun itu dipercayai tiba-tiba menyerang orang awam menggunakan senjata parang dan tukul dalam kejadian kira-kira jam 9.11 pagi.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, pihaknya menerima maklumat awam, sebelum sepasukan unit kereta peronda (MPV) digerakkan ke lokasi kejadian.
“Hasil siasatan awal polis mendapati suspek yang bersenjatakan parang dan tukul telah datang ke sebuah restoran sebelum tiba-tiba menyerang orang awam di kawasan tersebut.
“Lima mangsa termasuk tiga wanita berusia 34 hingga 63 tahun dilaporkan cedera dan dibawa ke Hospital Duchess Of Kent (HDOK),” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, anggota polis bertindak menangkap dan mententeramkan suspek terbabit.
“Suspek yang tidak mengalami sebarang kecederaan ditahan dan telah dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan polis berterima kasih atas maklumat awal diberikan berkaitan kejadian itu,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah