Satu Maut Dua Cedera Kenderaan Bertembung Di Tuaran

Pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat di lokasi kejadian.

TUARAN: Seorang lelaki meninggal dunia manakala dua lagi cedera selepas terbabit dalam kemalangan dua kenderaan di Kampung Indai berhadapan sebuah kedai serbaneka di sini.

Mangsa berumur 24 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi dalam kejadian jam 7.30 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran Mohamad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.39 pagi sebelum sepasukan pegawai digerakkan ke lokasi.

“Kemalangan melibatkan dua buah kenderaan jenis sedan bertembung dengan kereta jenis kenderaan pelbagai guna (MPV).

“Terdapat tiga orang mangsa dalam kejadian ini dan pasukan bomba berjaya mengeluarkan dua orang mangsa cedera termasuk seorang parah.

“Salah seorang mangsa tercampak keluar dari kereta semasa kemalangan berlaku dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan manakala mangsa meninggal diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan jam 9.15 pagi selepas pasukan bomba membuat pemeriksaan untuk memastikan tiada bahaya lain di lokasi,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *