Penunggang Motosikal Maut Bertembung Kereta Di Jalan Penampang – Tambunan

Penunggang motosikal terbabit disahkan maut akibat kecederaan parah.

PENAMPANG: Seorang penunggang maut selepas motosikal ditunggang hilang kawalan dan bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 38 Jalan Penampang – Tambunan, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari itu, mangsa lelaki tempatan berusia 20 tahun yang menunggang motosikal seorang diri meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, hasil siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas sendiri ke laluan bertentangan.

“Motosikal mangsa kemudian bertembung dengan sebuah kereta yang datang dari arah Penampang.

“Akibat daripada kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan bertugas,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Sammy berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu untuk proses bedah siasat.

“Pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan dan berhubung dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *