Jangan Salah Guna Tindakan Mahasiswa – Jeffrey

Jeffrey Kitingan

PENAMPANG: Kumpulan Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) diingatkan supaya tidak membiarkan tindakan mereka untuk menganjurkan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah disalah guna oleh pihak tertentu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan berkata, banyak pihak yang menganjurkan perhimpunan sedemikian bertujuan mahu menentang rasuah.

Bagaimanapun jelasnya, kumpulan terbabit jangan membiarkan langkah mereka itu disalah guna oleh pihak tertentu.

Menurutnya, golongan mahasiswa seharusnya tidak mendengar propaganda tanpa sesuatu perkara itu dibuktikan sahih.

“Sekarang video pun boleh diubah suai, boleh dimanipulasi. Baru-baru ini ada beberapa WhatsApp tular yang tidak betul.

“Ini memang bertujuan merosakkan hubungan antara pemimpin agar mereka saling tidak percaya antara satu sama lain,” katanya semasa ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Krismas Parti Bersatu Sabah (PBS)-Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) di Dewan Hongkod Koisaan di sini semalam.

Beliau yang juga Presiden STAR turut menasihatkan kumpulan mahasiswa UMS agar tidak terlibat dengan perhimpunan sebegitu.

Katanya, kerajaan memang ingin membanteras rasuah kerana ia satu amalan yang tidak baik bagi sebuah negara.

Suara Mahasiswa UMS melalui laman media sosial memaklumkan akan mengadakan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah di depan Menara Kinabalu pada 31 Disember ini. 

Selain kumpulan berkenaan, Gerakan Kuasa Rakyat (G57) turut mengadakan Himpunan Bangkit Sabahan pertahankan hak Sabah sebagai tanda sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor pada tarikh dan lokasi yang sama.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11, Jeffrey menjelaskan,  pertikaian mengenai lantikan itu adalah perkara biasa.

Menurutnya, ia juga menunjukkan satu keunikan kerana lambat laun rakyat akan menerima juga pelantikan berkenaan.

Namun beliau tidah mahu mengulas ketika ditanya jika pelantikan itu akan menjejaskan tahap sokongan terhadap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau berkata, pihaknya tidak terlibat dalam pelantikan Musa sebagai Yang Dipertua Negeri.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *