KOTA KINABALU : Wanita maut manakala suami dan dua anaknya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan kenderaan lain di Iramanis, Jalan Lintas, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian 9 malam itu, Sarimah Januil, 58, yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan kereta Honda Accord meninggal dunia di tempat kejadian selepas tercampak keluar.
Suaminya berusia 61 tahun yang memandu kereta dan anak lelaki berusia 15 dan 23 tahun yang berada di tempat duduk belakang cedera.
Difahamkan, kereta dinaiki mereka bergesel dengan Perodua Azla sebelum terbabas dan terjatuh ke dalam parit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Agustavia Joe Guasi berkata, pasukannya hadir ke lokasi mendapati kereta dinaiki empat beranak terbabas dalam parit.
“Tiga daripadanya cedera manakala seorang disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan.
“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa cedera dihantar ke hospital dengan ambulans Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau memaklumkan terdapat dua individu dalam Perodua Alza namun tidak cedera.
Katanya, selepas memastikan tiada bahaya lain, operasi ditamatkan pada 10.15 malam.
SumbeR: HMetro
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah