
SEMPORNA: Kira-kira 30 buah rumah termasuk sebuah masjid di dua perkampungan atas air di daerah ini terjejas teruk akibat angin kencang, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu turut menyebabkan sebanyak 20 buah kenderaan rosak namun tiada mangsa dilaporkan cedera.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) SempornaMadzlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian angin kencang itu, pada jam 6.21 pagi.
Katanya, sepasukan lima anggota dan pegawai bersama dua buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, terdapat beberapa rumah di perkampungan atas air iaitu Kampung Selamat dan Seri Aman, mengalami kerosakan dan termasuk ada yang roboh.
“Hasil pemeriksaan mendapati 20 rumah rosak dan roboh serta lima kenderaan terjejas. Turut rosak bumbung Masjid Kampung Selamat diterbangkan angin.
“Manakala di Kampung Seri Aman, sebanyak 10 rumah dan 15 kenderaan rosak akibat daripada angin kencang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kejadian itu juga menyebabkan berlaku litar pintas dan pemantauan dijalankan oleh pasukan bomba dan pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk memastikan tiada bahaya lain.
“Kejadian hanya merosakkan harta benda sahaja, setakat ini tiada mangsa dilaporkan cedera atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
“Pasukan bomba bersama SESB menjalankan pemantauan dan operasi ditamatkan pada jam 7.38 pagi selepas tiada bahaya lain yang wujud,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah