
SUSULAN lawatan Ketua Konsulat Republik Indonesia (RI) Tawau, Aris Heru Utomo ke lokasi pelancongan di Semporna, satu program Familiarization Trip (Famtrip) ke Sulawesi Selatan, Indonesia telah dilakukan baru-baru ini.
Famtrip yang dianjurkan oleh Konsulat RI Tawau itu turut membawa beberapa orang penggiat industri pelancongan di Semporna dan pengamal media.
Menerusi laporan Utusan Borneo sebelum ini, kerjasama ekonomi Malaysia-Indonesia terus berkembang, sekali gus melambangkan hubungan dua hala yang kukuh antara kedua-dua negara ini.
Kunjungan Konsulat RI Tawau ke lokasi pelancongan di Semporna telah memberi inspirasi untuk mewujudkan silang pelancongan antara daerah Semporna dengan Sulawesi Selatan, Indonesia.
Produk pelancongan di Semporna seperti diketahui adalah kecantikan air laut dan hidupan marin di pulau-pulaunya membuatkan ia menjadi syurga kepada pencinta alam lautan.
Manakala, Sulawesi Selatan pula terkenal dengan kekayaan alam semula jadi, warisan budaya dan adat tradisional, terutamanya di Tana Toraja.
Sektor pelancongan kedua-dua kawasan itu sangat jauh berbeza dan dilihat boleh dijadikan silang pelancongan antara Semporna dan Sulawesi Selatan, Indonesia.
Namun, sebaik mengikuti Famtrip itu, penulis mendapati terdapat kekangan untuk mewujudkan silang pelancongan antara kedua-dua kawasan dan yang paling ketara adalah kemudahan pengangkutan.
Ketiadaan penerbangan langsung daripada Tawau ke Sulawesi Selatan menjadikan kekangan yang paling besar kerana pelancong terpaksa berpindah penerbangan sama ada Tawau-Kota Kinabalu-Bali-Makassar, Sulawesi Selatan ataupun Tawau-Kuala Lumpur-Makassar.
Ketua Famtrip yang juga Pegawai Pelaksana Fungsi Ekonomi Konsulat RI Tawau, Tri Wulandari berkata pihaknya mengambil inisiatif mempromosikan sektor pelancongan di kedua-dua negara ini.
Katanya, sebelum ini, Konsulat RI Tawau sudah melakukan lawatan ke pulau-pulau di Semporna dan sesi dialog bersama pemain pelancong di daerah berkenaan.
“Kami sangat teruja untuk menjalinkan kerjasama ekonomi terutamanya dalam sektor pelancongan supaya kedua-dua negara mendapat manfaat bersama.
“Malaysia dan Indonesia yang merupakan negara serumpun sudah lama menjalinkan kerjasama ekonomi, malah negara ini adalah penyumbang terbesar kepada peningkatan ketibaan pelancong antarabangsa ke Indonesia,” katanya.
Menurutnya, Konsulat RI Tawau juga mahu mengambil kesempatan dengan kepesatan pelancongan di Semporna supaya pelancong yang datang ke sini dapat berkunjung ke Indonesia dan begitu juga sebaliknya.
“Justeru, kami cuba membawa pemain pelancong yang ada di Semporna ini supaya mereka dapat mempromosikan produk pelancongan mereka di Sulawesi Selatan, Indonesia.
“Kami mahu mereka berjumpa dan bersuai kenal dengan pemain pelancong di Sulawesi Selatan supaya wujud silang pelancongan antara kedua-dua negara,” katanya.
Namun, beliau berharap supaya kedua-dua kerajaan dapat mewujudkan kerjasama untuk mengadakan penerbangan langsung daripada Tawau ke Makassar, Indonesia.
“Silang pelancongan ini akan bertambah mudah sekiranya wujud jaringan penerbangan langsung daripada kedua-dua tempat itu seperti yang ada sekarang penerbangan daripada China ke Tawau,” katanya.
Sementara itu, Kepala Dinas Kebudayaan dan Kepariwisataan Sulawesi Selatan, Dr Ir H. Muhammad Arafah turut senada bahawa perlunya ada jaringan penerbangan langsung dari Tawau ke Makassar.
Katanya, jaringan pengangkutan udara adalah perkara penting sekiranya mahu mewujudkan kerjasama yang baik dalam sektor pelancongan.
“Kedua-dua negara harus berbincang untuk mengadakan penerbangan langsung dari Tawau ke Makassar supaya memudahkan para pelancong.
“Saya percaya sekiranya penerbangan langsung ini diwujudkan sudah pasti mendapat sambutan yang menggalakkan kerana selain pelancong, terdapatnya ramai rakyat Sulawesi Selatan di Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Arafah mengharapkan melalui inisiatif Konsulat RI Tawau ini dapat meningkatkan lagi jumlah kedatangan rakyat Malaysia ke Sulawesi.
Menurutnya, setakat ini mengikut statistik, pelancong Malaysia adalah paling ramai datang ke Sulawesi Selatan iaitu kira-kira 60 peratus daripada jumlah pelancong yang ada tahun ini.
“Saya berharap jumlah itu dapat ditingkatkan lagi selepas adanya rombongan Famtrip yang dianjurkan oleh pihak Konsulat RI Tawau.
“Kami juga mengharapkan pihak media yang datang, di samping mempromosikan produk pelancongan di Sabah, Malaysia, turut memperkenalkan produk pelancongan di Sulawesi Selatan ini juga,” katanya.
Bagi Pegawai Pentadbiran Jeti Pelancongan Semporna, Massuraya Manimbora berkata program famtrip adalah inisiatif yang baik bagi memberi peluang untuk mempromosikan pusat pelancongan kedua-dua negara.
Katanya, setelah melihat Sulawesi Selatan yang kaya dengan kebudayaan dan keunikan adatnya, sudah pasti menjadi kelainan bagi masyarakat di daerah Semporna.
“Masyarakat Semporna juga mempunyai kekayaan budaya, selain pulaunya yang menarik, tetapi keunikan di Sulawesi Selatan ini tidak sama yang ada di Sabah.
“Masyarakat Semporna yang mahu melihat kelainan dari segi budaya, mereka perlu datang ke Sulawesi Selatan terutamanya di Tana Toraja kerana mereka masih mengekal adat dan budaya kuno,” katanya.
Massuraya berkata, perjumpaan bersama pemain industri pelancongan di Sulawesi Selatan memberi peluang untuk mempromosikan lagi produk pelancongan di Semporna.
“Kami melihat rata-rata mereka teruja untuk mengetahui lebih mendalam mengenai Semporna dan difahamkan mereka akan cuba membawa rombongan ke Sabah.
“Saya fikir, sudah tiba masanya kedua-dua negara mewujudkan penerbangan terus dari Tawau ke Makassar secepat mungkin kerana potensi pelancongan adalah sangat besar,” katanya.
Ketua Persatuan Gabungan Kebudayaan dan Pariwisata Sulawesi Selatan, Indonesia, Suhardi ketika ditemui berkata, pihaknya sangat teruja untuk mengadakan kunjungan balas ke Semporna, Sabah.
Katanya, setelah mendengar taklimat dan mengetahui pakej pelancongan di Semporna, ia memang sangat menarik, malah boleh dipromosikan dengan masyarakat di Sulawesi Selatan.
“Saya berharap Sulawesi Selatan dengan Sabah, Malaysia meneruskan kerjasama dalam hal penjualan pakej-pakej pelancongan dan diharapkan memberi manfaat kepada pemain industri.
“Sebagai ejen pelancongan melihat pakej-pakej yang ditawarkan di Semporna ini boleh dijual sekiranya ada penerbangan langsung antara Tawau-Makassar,” katanya.
Terdahulu, pertemuan antara pemain industri pelancongan itu telah diadakan di Pejabat Kebudayaan dan Pariwisata Provinsi Sulawesi Selatan.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah