Tiga Pekerja Pemasang Solar Maut Terkena Renjatan Elektrik Di Ranau

Pasukan Bomba Ranau mengangkat mangsa yang terkena renjatan elektrik semasa menjalankan kerja-kerja pemasangan solar di bangunan pejabat Jabatan Kerja Raya Ranau.

RANAU: Tiga lelaki dilaporkan maut akibat terkena renjatan elektrik semasa menjalankan kerja-kerja pemasangan solar di bangunan pejabat Jabatan Kerja Raya Ranau, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, mangsa Wong,54, Salleh,34 dan Gimbal,25, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.46 pagi.

Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama tiga buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat

“Setibanya di lokasi, pasukan operasi mendapati tiga lelaki maut terkena renjatan elektrik semasa menjalankan kerja-kerja pemasangan solar, manakala seorang lagi lelaki berusia 20-an selamat.

“Pasukan operasi bertindak mengalihkan mangsa ke tempat selamat dan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang maut dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat dan kes diserahkan kepada pihak PDRM.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada bahaya lain yang wujud, sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.03 tengah hari,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *