MEMBAKUT: Pihak berkuasa diminta menyiasat tindakan sebuah kontraktor tempatan yang dikatakan cuai melaksanakan kerja menurap jalan di Kampung Tahak, dekat sini.
Ini berikutan projek menurap jalan berkenaan yang sepatutnya dilaksana melibatkan lapan rumah, dipindahkan ke kawasan lain.
Kerja-kerja menabur batu bagi menurap jalan berkenaan sudah dilakukan sejak lebih sebulan lalu, tetapi terbiar sehingga kini.
Jurucakap penduduk berkata, apabila pihaknya menghubungi kontraktor yang menabur batu memaklumkan bahawa sebuah kontraktor lain tersilap menurap jalan lain.
Katanya, syarikat yang menabur batu itu mendakwa syarikat rakannya itu tersalah menurap jalan lain.
Sehubungan itu, jurucakap penduduk menyatakan rasa kesal atas kecuaian syarikat yang menurap jalan berkenaan dan meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan.
“Kenapa kejadian begini berlaku, tentu ada kecuaian, jadi kita minta pihak berkuasa menjalankan siasatan,” katanya.
Beliau berkata pihaknya akan memanjangkan perkara itu kepada Kementerian Kerja Raya, Pejabat Daerah Membakut dan juga kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost