Seorang Lagi Penjenayah Dikehendaki Ditembak Mati – Polis Sabah

Anggota polis forensik dilihat memasuki bangunan yang diduduki oleh seorang penjenayah yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan pasukan serbuan di Jalan Undan berhampiran Terminal Bas Inanam di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Polis menembak mati seorang lagi penjenayah yang dikehendaki di sebuah bangunan di Jalan Undan berhampiran Terminal Bas Inanam, di sini, awal pagi tadi.

Suspek berusia 59 tahun itu juga dipercayai rakan kepada tiga penjenayah yang ditembak mati dalam kejadian di Beverly Hill, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah, Datuk Azmi Abdul Rahim berkata, bertindak atas maklumat, jam 2.30 pagi sepasukan pegawai dan anggota JSJ D9 (Siasatan Khas) menyerbu sebuah bilik di bangunan berkenaan.

“Ketika serbuan dilakukan, suspek melepaskan tembakan menyebabkan pasukan serbuan bertindak melepaskan tembakan balas bagi melindungi keselamatan serta nyawa anggota polis.

“Dalam kejadian itu, suspek disahkan mati di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui, di lokasi kejadian, pagi tadi.

Beliau berkata, suspek yang dikehendaki pihak berkuasa berasal dari Sarawak dan dipercayai rakan kepada tiga penjenayah yang ditembak mati semalam kerana terbabit dalam beberapa kes jenayah termasuk kes bunuh di Sarawak.

“Dengan tumpasnya keempat-empat suspek ini, kita berjaya menumpaskan semua penjenayah yang dikehendaki ini,” katanya.

Bagaimanapun katanya, polis masih menjalankan siasatan lebih lanjut.

Semalam, pasukan polis dari D9 JSJ Kontinjen Sabah menembak mati tiga penjenayah dalam kejadian berbalas tembakan di lokasi persembunyian mereka di Beverly Hill.

Dalam kejadian jam 9.13 malam itu, ketiga-tiga penjenayah berasal dari Sarawak berusia lingkungan 40 hingga 50-an mati di lokasi kejadian.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *