13 PATI Vietnam Dihantar Pulang Ke Negara Asal Melalui LTAKK

Jabatan Imigresen Sabah melaksanakan pemindahan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Vietnam ke negara asal melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah (JIM Sabah) menghantar pulang 13 Pendatang Asing Tanpa Izin (PTI) lelaki warga Vietnam pulang ke negara asal melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK).

 Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib berkata, penghantaran pulang menggunakan pengangkutan

udara dilaksanakan melalui Program Pemindahan Tahanan Asing Ke Negara Asal bagi tahun ini membabitkan PTI berumur

23 tahun sehingga 51 tahun.

“Pemindahan tahanan PTI warganegara Vietnam telah dilaksanakan daripada Depot

Imigresen Kota Kinabalu dan Depot Imigresen Papar  pulang ke Ho Chin Minh City, Vietnam.

“PTI yang dipindahkan ini melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan

Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana masuk ke negara ini tanpa pas atau

permit yang sah selain tinggal lebih masa. 

“Kesemua mereka selesai menjalani

hukuman penjara dan diperuntukkan proses pemindahan ke negara asal setelah lengkap

dokumen perjalanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, untuk tahun ini, seramai 50 orang tahanan PTI warganegara

Vietnam direkodkan pulang ke negara asal melalui pengangkutan udara.

“Jumlah ini menjadikan keseluruhan 7,943 orang warganegara asing berjaya dipindahkan ke negara asal. 

“Kesemua tahanan PTI ini akan disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia mengikut jenis kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, kekerapan pelaksanaan program pemindahan tahanan PTI oleh JIM Sabah adalah tertakluk dengan hubungan kerjasama daripada pihak Kedutaan Asing di Malaysia.

“Operasi pemindahan tahanan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan Jabatan Imigresen Negeri Sabah yang dijalankan dari semasa ke semasa bagi kesemua tahanan yang ditempatkan di Depot-Depot Imigresen Sabah.

“Jabatan Imigresen Negeri Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana

warganegara asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang diberikan.

“Tindakan pendakwaan akan dikenakan kepada majikan serta pemilik premis yang

menggaji warganegara asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah dan individu

yang melakukan pelanggaran syarat pas atau permit seperti yang termaktub mengikut Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Beliau juga menasihatkan majikan dan masyarakat supaya mengambil warganegara asing untuk bekerja di negara ini mengikut saluran yang berlandaskan undang-undang. 

“Jabatan ini akan mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa

ke semasa dalam membanteras PTI di negara ini,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *