Lelaki Parah Dihempap Pokok Di Kota Belud

Pasukan bomba meredah hutan sejauh lima kilometer membawa peralatan kecemasan untuk menyelamatkan mangsa.

KOTA BELUD: Pasukan bomba terpaksa meredah kawasan hutan sejauh lima kilometer bagi menyelamatkan seorang lelaki parah yang dihempap pokok semasa menjalankan kegiatan memotong kayu di kebunnya di Kampung Tindakon di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Mohammad Syazwan Latun berkata, kejadian jam 10.30 pagi itu membabitkan seorang mangsa lelaki berumur 27 tahun.

Katanya, panggilan kecemasan berkenaan kejadian diterima pada jam 10.34 pagi sebelum sepasukan pegawai serta anggota bergegas ke lokasi sejauh 22 kilometer bagi melaksanakan operasi menyelamat.

“Kejadian membabitkan seorang mangsa terhempap pokok ketika manjalankan aktiviti memotong kayu di kebun. 

“Pasukan bomba memberikan rawatan awal dan membawa mangsa keluar ke jalan utama sejauh lima kilometer menggunakan pengusung (stretcher). 

“Seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dibawa ke Hospital Kota Belud untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, operasi keseluruhan kemudian ditamatkan jam 3.07 petang sebaik memastikan keadaan sekitar lokasi kejadian adalah selamat.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *