KOTA KINABALU: Kegiatan seorang lelaki warga tempatan menyeludup masuk 24.5 kilogram dadah jenis syabu masuk ke negeri ini berjaya dikesan pihak polis sebelum suspek ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) dalam satu serbuan pada 8.30 pagi 7 November lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, keldai dadah yang juga anak kelahiran Sabah itu didapati membawa barang larangan itu menggunakan beg yang dibawa ke dalam pesawat atau ‘hand carry baggage’.
“Bertindak dengan maklumat risikan berkenaan aktiviti sindiket pengedaran dadah, sepasukan polis dari Narkotik Lapangan Terbang Kota Kinabalu bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah membuat pemantauan terhadap penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu.
“Seorang lelaki iaitu penghantar makanan berumur 24 tahun yang dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah berjaya ditahan bersama dua beg bagasi dan selepas diperiksa beg terbabit mengandungi 23 kotak bungkusan makanan.
“Pemeriksaan lanjut menemukan 24.5 kilogram syabu yang dianggarkan bernilai RM800,000 pada harga pasaran tempatan,” katanya semasa sidang media di IPK Sabah di sini.
Jauteh berkata, hasil soal siasat terhadap suspek membawa kepada tangkapan kedua iaitu suspek berumur 28 tahun warga tempatan yang bekerja sebagai ejen insuran dan dipercayai antara dalang sindiket pengedaran dadah di Sabah.
“Buat masa ini pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti bagaimana suspek memperoleh bekalan dadah di semenanjung.
“Kita juga menumpukan siasatan terhadap faktor bagaimana suspek boleh membawa bekalan dadah menaiki penerbangan masuk ke negeri ini,” katanya.
Jauteh berkata, tangkapan ini juga adalah kejayaan pihak JSJN IPK Sabah menumpaskan satu sindiket yang menggunakan penerbangan awam.
“Berdasarkan hasil soal siasat terhadap suspek pertama, polis tidak menolak kemungkinan suspek terlibat dalam jenayah lampau selepas suspek mengaku pernah membawa dadah ke negeri jiran yang bernilai RM10,000 sebelum ini.
“Suspek pertama dipercayai berperanan sebagai keldai dadah iaitu suspek akan menyelesaikan kerja untuk mengambil dadah dari Kuala Lumpur dan akan menghantar ke lokasi yang diarahkan oleh sindiket atasan.
“Hasil siasatan juga mendapati bekalan dadah yang dibawa dari semenanjung ini adalah untuk kegunaan pasaran tempatan yang boleh diedarkan kepada 81,000 pengguna,” katanya.
Tambahnya, polis juga positif bahawa akan ada tangkapan susulan hasil siasatan terperinci bagi membasmi kegiatan penyalahgunaan dadah di negeri ini.
Katanya, suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa kepada hukuman mandatori atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost