SEMPORNA: Dua cedera selepas pacuan empat roda yang mereka pandu terbabit dalam kemalangan di Jalan Pokas, di sini, tengah malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna Madzlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.41 tengah malam.
Katanya, seramai tujuh anggota dan pegawai bersama dua buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan itu membabitkan dua buah kenderaan jenis pacuan empat roda yang dipandu masing-masing lelaki berusia 18 dan 42 tahun.
“Kedua-dua kenderaan terbabit terbabas sendiri kerana mengelak daripada bertembung di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, terdapat lapan mangsa yang terlibat dan akibat kemalangan itu kedua-dua pemandu mengalami kecederaan, manakala semua penumpang selamat.
“Semua mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan kedua-dua mangsa yang cedera diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan lokasi kejadian selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 1.45 pagi,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost