
LAHAD DATU: Tiga maut termasuk seorang kanak-kanak manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Felda Sahabat, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, seorang kanak-kanak perempuan dan wanita dewasa yang berada di dalam sebuah kereta maut, manakala seorang lagi penunggang motosikal lelaki dewasa turut maut di lokasi.
Sementara itu, dua lagi mangsa mengalami kecederaan parah membabitkan lelaki dan wanita dewasa daripada kereta yang sama.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.19 petang.
Katanya, seramai 10 anggota dan pegawai bersama dua buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 77 kilometer dari balai.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah kereta, pacuan empat roda dan motosikal.
“Terdapat 13 mangsa terbabit. Empat mangsa di dalam sebuah kereta dikeluarkan oleh orang awam dan dua parah dihantar ke Klinik Kesihatan Tungku oleh ambulans,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.
Bagaimanapun, katanya, seorang mangsa di kereta berkenaan dan penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Seorang lagi mangsa penumpang kereta terbabit meninggal dunia dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Tungku.
“Seramai lapan individu di dalam pacuan empat roda iaitu empat lelaki dan wanita dewasa serta tiga kanak-kanak hanya cedera ringan dan dihantar ke klinik yang sama oleh ambulans,” katanya
Menurutnya, dua mangsa yang meninggal dunia di lokasi kejadian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Pasukan bomba kemudian membuat pemeriksaan bagi memastikan tiada bahaya lain wujud dan operasi ditamatkan pada jam 10.06 malam,: katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost