
TUARAN: Polis melepaskan beberapa das tembakan bagi menghentikan kenderaan dinaiki suspek selepas bertindak agresif memandu secara laju dan melawan arus selain cuba merempuh kereta peronda polis (MPV) dalam satu kejadian di Jalan Tuaran – Kota Kinabalu.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, dalam kejadian kira-kira 9.29 malam Khamis itu, tembakan dilepaskan ke arah kenderaan suspek yang memecut laju ingin merempuh kenderaan polis walaupun diarahkan untuk berhenti.
“Hasil siasatan mendapati, MPV dari IPD Kota Kinabalu terserempak dengan sebuah kereta jenis sedan yang dipandu laju melawan arus secara merbahaya berhampiran sebuah stesen minyak di Pekan Telipok di sini.
“Pihak MPV polis cuba untuk menahan dan menghentikan kereta yang dinaiki oleh dua orang suspek terbabit tetapi suspek bertindak memecut dan cuba untuk merempuh kenderaan polis,” katanya semasa dihubungi.
Beliau berkata, bertindak dengan tindakan agresif suspek itu, pihak polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta suspek dengan tujuan menghentikan kereta terbabit selain mempertahankan diri dan keselamatan para pengguna jalan raya yang lain.
“Kereta suspek yang dipandu laju itu kemudian menghala ke taman perumahan di Rugading, Tuaran dan berjaya dihentikan, pada masa sama kedua-dua suspek cuba untuk melarikan diri.
“Tindakan cekap pihak polis bagaimanapun berjaya menahan dan menangkap kedua-dua suspek lelaki warga tempatan berumur dalam lingkungan 30-an.
“Hasil pemeriksaan lanjut berjaya menemukan peralatan untuk menghisap dadah jenis syabu dalam kereta suspek,” katanya.
Bercakap lanjut beliau berkata, hasil semakan pihak polis terhadap kedua-dua orang suspek juga mendapati mereka mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.
“Suspek kini ditahan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis juga menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi dan mengganggu siasatan pihak polis.
“Sekiranya orang awam mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta untuk tampil di Balai Polis Tuaran atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost